Followers


familia

familia

mOsHi2


bazar ramadhan VS bazir ramadhan

>> Wednesday, August 10, 2011


“Bazar Ramadhan”,,

satu nama yang tidak asing lagi dikalangan orang kita di bulan puasa. Di situ semua jenis juadah ada. Sebut je apa yang nak dimakan i”Allah ada. Kalau nasi, nasi apa nak, ala-ala Arab, Melayu, India, China, Mamak, Iban, Kadazan, semuanya ada. Kalau kuih muih pula, kuih apa yang tiada! Lepat pisang, akok kecut, ko”leh, habuk habuk, koci, tepung boko, dan entah apa apa lagi yang bilangannya lebih dari seratus jenis boleh didapati.


Banyaknya kuih muih yang dibuat sampai nama kuih pun terpaksa di curi dari elemen-elemen yang tidak boleh dimakan. Asalnya jala ikan dah jadi roti jala. Perahu pak cik nelayan yang selalu mudik di muara sungai dah jadi tepung perahu. Badak sebesar- besar badak yang beratus kilo beratnya, last-last dalam kuali kita campakkannya, jadi cucur badak. Pelita minyak tanah buat berdiangnya anak-anak ayam dalam reban asalnya dah jadi tepung pelita. Yang lebih dasyat, bom yang asalnya boleh melenyapkan bandar Hiroshima dan Nagasaki di Jepun, pun dah di gorengnya sampai jadi kuih bom. Betapa dasyat dan hebatnya kita orang orang Melayu dalam bab makan. Menggigil lutut gamaknya Benjamin Netanyahu PM Israel kalau mendengarnya.

Laparnya kita ketika bulan puasa sampai habis benda kita sumbat ke dalam perut. Dengan jalanya, perahunya, badaknya, pelitanya dan dengan bom-bom pun boleh kita sumbat ke dalam perut sambil senyum je. Apa pun, tidak dinafikan ‘Bazar Ramadhan’ sangat memberi faedah buat masyarakat terutamanya pasangan suami isteri yang bekerja. Kesuntukan masa dan kepenatan balik dari tempat kerja tidak mengizinkan mereka untuk menyediakan juadah berbuka puasa dengan sendiri. Justeru, ‘Bazar Ramadhan’ adalah jawapannya.

Cuba kita rehatkan minda, tenangkan fikiran dan kosongkan emosi. Bayangkan realiti “kita” sedang berada di Bazar Ramadhan sekarang.

Tongkat je motosikal dah terdengar “ beriani gam lauk kari kambing bang,,,,murah murah,,,,7 ringgit je”. Huh meremang bulu tengkuk dan kecur air liur dibuatnya.” Kari kambing tu,,,my favorite ”. Tanpa membuang masa, 2 ja’be beriani gam kari kambing tersangkut di jari telunjuk. Sambil tersenyum puas, langkahan diteruskan. Ale’ ale’ belum pun sampai langkahan ke 15 dari gerai nasi beriani tadi, isteri tercinta mencuit pinggang, “baby, ayang nak tepung pelita tu boleh tak? Gebu dan putih bersih tepung dia. Macam sedap je”. Senyum sumbing si suami kerana di panggil baby di khalayak ramai. Tambahan pula mak cik tepung pelita dah siap ambilkan plastik dalam pada “ ya baby,,,,murah murah! 3 seringgit.” Tersangkut pulak di jari tengah RM 3 tepung pelita. Perjalan diteruskan.

Dari kejauhan terdengar laungan suara budak lelaki,” ayam golek, ayam golek, ayam golek,,,,,,,,,,,,,,.” Secara automatik, dengan langkahan yang senada dan seirama, kaki laju melangkah ke lokasi gerai ayam golek. “ Fuuuh ramainya orang, ni mesti sedapkan sayang,” kata si suami. Terangguk angguk si isteri mengiyakan. 15 minit kemudian baru lah dapat seekor ayam golek yang diidamkan. Bergoleklah ayam golek dalam plastik yang di sangkut di sebelah jari telunjuk tangan kiri pula. Tersenyum lagi kepuasan dalam pada gendang makin kuat di mainkan didalam perut sendiri. Kalau boleh, masa tu juga nak di”ngapkan” ayam tersebut dengan plastik plastiknya sekali. Lapar la katakan,,,.

Berjalan lagi kedepan, terpampang depan mata deretan balang balang air si peniaga air. Berpinar biji mata bila terpandang cincau bandung yang terhidang dalam balang akak jual air. Apa lagi, “cincau bandung 2, air mata kucing 2, air batu tak nak banyak kak yer.” Cadang cadang banyak la sikit nanti dapat minum airnya. Kali ini giliran isteri tercinta pula yang membimbit 4 plastik air tadi.

Melangkah bersesak sesak dalam keramaian bazar Ramadhan tak sampai 2 minit seterusnya, si si isteri yang dah merasa lenguh jari telunjuk membimbit 4 plastik air tadi pun bersuara,” dah la baby, cukup dah kot untuk kita dua orang berbuka ni,,,,! ” Sambil mengangkat tinggi kepala melihat saki baki gerai yang masih belum dilawati, “ ok lah, jom,” jawab si suami.

Hampir-hampir sampai ke motosikal, terlihat seorang wanita separuh umur dengan sekotak poli putih di depannya, “ air soya, tau fu fa dik,,,,,” dengan mata yang mengharap menyapa. Kalau nak diikutkan hati memang dah tak nak beli, tetapi atas rasa belas ihsan, 1 plastik lagi air soya dan semangkuk kecil tau fu fa menjadi koleksi berbuka puasa di jari si isteri. Sampai di rumah, hanya berbaki 20 minit lagi azan maghrib tanda masa berbuka puasa akan dilaungkan.

Siap-siap mandi, pakai baju, azan pun berkumandang. Mula mula yang menjadi mangsa, air cincau separuh plastik. Diteruskan dengan nasi beriani gam kari kambing. Licin beriani gam, peha ayam golek di”pepohnya” pula. Habis sepeha ayam golek, sebiji tepung pelita menjadi mangsa. Selepas air, nasi, ayam dan kuih masuk ke dalam perut, si suami sudah menyandar ke dinding dengan perut persis wanita mengandung 3 bulan dalam kekenyangan. Si isteri pula melunjurkan kaki, lurus kebawah meja sambil kepala menyandar dikerusi tercungap cungap kekenyangan,,,,,,,,,,,,.

Betul tak segala gambaran yang kita sama-sama kongsi sebentar tadi perihal “kita dan bazar Ramadhan” sekarang ini!!!!

Perasan atau tidak yang sesungguhnya kita sudah melakukan banyak kesalahan dan dosa dengan sebabnya. Sekarang mari sama-sama kita buktikan segala kesalahan yang berlaku.

Pembaziran Wang

Disebabkan perut sedang lapar dan tekak sedang haus, jadi ramailah yang terlajak tatkala membeli-belah. Itu nak, ini pun nak. Kesemua sepuluh jari hampir dipenuhi dengan plastik-plastik bungkusan makanan untuk berbuka puasa. Sedangkan yang diperlukan hanya dua atau tiga jenis makanan sahaja untuk berbuka puasa. Maka berlakulah pembaziran wang.

Pembaziran Makanan

Mengaku atau tidak, hanya setengah daripada makanan yang dibeli di bazar Ramadhan tadi masuk kedalam perut kita, selebihnya transit sebentar di dalam peti sejuk, sebelum di”humbankan” ke dalam tong sampah. Alangkah baiknya andai wang yang lebih itu dibeli makanan untuk golongan anak yatim, fakir miskin atau yang orang yang susah kehidupannya. Betapa sayunya hati mereka jika melihat sesetengah kita menggolekkan “ayam golek” yang baru dimakan separuh kedalam tong sampah, sedangkan mereka sangat susah walau untuk mendapatkan sesuap nasi.

Tidak kurang pada si peniaga juga, kadang-kadang membuang makanan yang tidak habis terjual ke dalam tong sampah. Padahal alangkah eloknya makanan yang tidak habis terjual itu diberikan ke masjid masjid dan surau sebagai moreh selepas solat terawih daripada dibazirkan. Maka berlaku pula pembaziran makanan.

Pembaziran Masa

Terang lagi bersuluh, memang ramai yang membazir masa di Bazar Ramadhan. Yang datang hanya untuk “mencuci mata.” Yang “tawaf” bazar Ramadhan sampai 7 kali tapi tak jumpa jumpa apa yang nak dibeli.

Alangkah baiknya masa terluang tersebut digunakan untuk membuat pahala. Beramah mesra bersama keluarga, membaca Quran dan berzikir. Malah apa salahnya andai bagi pihak suami membantu si isteri tercinta menyiapkan juadah berbuka puasa di dapur. Kini jelas terbukti pembaziran masa pula berlaku.

Pembaziran Tenaga


Hasil dari pembaziran masa, secara automatik berlaku juga pembaziran tenaga. Disebabkan masa berjalan-jalan di Bazar Ramadhan terlalu lama, jadi banyak tenaga yang dibazirkan. Badan menjadi letih dan memberi kesan kepada Terawih yang bakal yang dilakukan pada sebelah malam. Sedangkan ia boleh dijimatkan dengan tidak terlalu lama di bazar Ramadhan. Berlaku pula pembaziran tenaga.

Pembaziran Pahala

Kita semua maklum, bazar Ramadhan kadang kadang menjadi medan “melawa” bagi manusia manusia lalai dan jahil. Terjadilah disana “wayang wayang berkulit” yang free. Lurah dada anak-anak dan mak-mak dara boleh dilihat tanpa bayaran. Pinggul-pinggul bulat “bergete” meliang-liuk kekiri dan ke kanan persis soldier mengambil baris hormat terhidang didepan mata tanpa dipinta. Ini semua adalah fitnah dan bala akhir zaman yang terhidang sama tetapi free di bazar-bazar Ramadhan. Maka bagi si pemuasa lelaki yang tidak merendahkan pandangannya, sungguh dia telah membazirkan pahala yang dikumpulkan sedari pagi lagi.

Ramainya pengunjung di bazar Ramadhan juga menyebabkan lidah tidak terkawal. Minda pula berfikir yang bukan-bukan. Ditambah aktiviti “ber” atau sengaja “me” langgar bahu antara lelaki dan wanita. Bukan setakat itu sahaja, malah persentuhan kulit antara penjual dan pembeli yang bukan mahram “selamba ajer berlaku.” Maka pahala yang penat dikutip sedari pagi hingga ke petang juga, gugur satu persatu digantikan dengan dosa.

Si peniaga pula kadang-kadang untuk melariskan jualan, mulalah ‘menanam tebu di pinggir bibir,’ “goreng” itu dan ini sampai terjadilah kelentong dan pembohongan ketika berniaga. Maka, terbazirlah pula pahala.

Pembaziran Peluang


Ramadhan datang hanya setahun hanya sekali. Patutnya kita semua berebut rebut mengutib pahala di dalam bulan yang mulia ini. Sayang sekali, ramai di kalangan kita terutama penjual penjual di bazar Ramadhan terlepas ibadah-ibadah besar di bulan puasa seperti Terawih dek terkejarnya laba perniagaan di bazar Ramadhan. Jangan ditanya tentang berzikir dan membaca Quran pada mereka kerana mereka akan menjawab,” mana lah aku sempat. Bila nak pegang senduk,,,,bila nak nak basuh beras,,,,,,bila pula sempat nak baca Quran.”

Maka terbazirlah peluang untuk membeli tiket tiket ke Syurga Allah di bulan yang mulia ini..

Janganlah kebaikan yang terdapat di Bazar Ramadhan itu memberikan keburukan buat diri kita, terutama dalam bab pembaziran.

Firman Allah s.w.t yang maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara Syaitan, sedang Syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.” (Surah Al-Isyra’, ayat ke 27)

Pembaziran adalah perbuatan Syaitan. Dan orang-orang yang terlibat dengan pembaziran adalah tergolong di dalam kalangan saudara kepada Syaitan. Moga kita semua dijauhi dari sifat yang buruk ini, amin. Ambillah peluang Ramadhan yang hanya hadir sekali dalam setahun ini sebaik-baiknya. Janganlah kita bazirkan wang, makanan, masa, tenaga, pahala dan peluang berada di bulan yang mulia ini dengan sesuatu yang tidak mendatangkan faedah.

Mudah-mudahan kita semua makin bertaqwa hendaknya, amin.

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

  © Blogger templates Romantico by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP